
DUNGUN, 25 Februari- Seekor beruang matahari yang berkeliaran di Kampung Padang Ping di sini sudah ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), petang semalam.
- Beruang matahari berjaya ditangkap oleh Perhilitan petang semalam.
- Haiwan seberat kira-kira 70 kilogram menyebabkan kebimbangan penduduk selama sebulan.
- Operasi pemindahan selesai malam itu dan beruang dibawa ke lokasi selamat untuk dilepaskan semula.
Haiwan liar seberat kira-kira 70 kilogram itu dipercayai tersesat dari hutan berhampiran sebelum memasuki kawasan kampung sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kira-kira 400 penduduk sejak sebulan lalu.
Situasi itu menyebabkan penduduk perlu lebih berwaspada ketika keluar bekerja di kebun atau berada di luar rumah khususnya melibatkan keselamatan kanak-kanak.
Beruang jantan berkenaan dilaporkan memasuki perangkap yang dipasang Perhilitan kira-kira pukul 4.00 petang semalam.
“Apabila beruang itu berjaya ditangkap, kami berasa lega. Sebelum ini, setiap kali ke kebun, kami sentiasa bimbang dengan kehadirannya,” Asmadi Abdul Rani, penduduk
Seorang lagi penduduk, Abdul Malik Abdul Rani turut melahirkan rasa syukur apabila haiwan itu berjaya ditangkap.
“Alhamdulillah, selepas disahkan ia telah masuk perangkap, kami tidak lagi bimbang akan gangguan atau kemungkinan ia bertindak agresif,” katanya.
Operasi memindahkan beruang matahari itu selesai sepenuhnya kira-kira pukul 8.00 malam sebelum dibawa ke lokasi selamat untuk dilepaskan semula ke habitat semula jadinya.