JOHOR BAHRU, 26 Disember- Dua lelaki maut, selepas kereta dinaiki berlanggar dengan sebuah lori 10 tan, di Jalan Pontian Lama, Skudai, Johor Bahru, awal pagi tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai R. Ganesh dan S. Parani Kumar, masing-masing 43 tahun, yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safardi dalam kenyataan media memaklumkan salah seorang mangsa dikeluarkan menerusi bantuan orang awam.
Sementara itu, pemandu kereta dikeluarkan Pasukan Keluaran Operasi selepas mangsa tersepit di dalam kenderaan terbabit.
Dalam pada itu, pemandu lori berusia 36 tahun dilapor dalam keadaan selamat.
Kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.