fb fb fb fb fb

Beri ruang kepada ahli parlimen Asean luah pandangan

Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di Vientiane

VIENTIANE, 10 Oktober- Malaysia memohon agar Institusi Parlimen 10 negara-negara anggota Asean diberi ruang lebih luas kepada ahlinya untuk meluahkan pandangan.

Perkara tersebut diutarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi suai kenal antara pemimpin-pemimpin dengan wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di sini semalam, yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mewakili Parlimen Malaysia pada sesi tertutup itu berkata Anwar menyentuh perkara berkenaan bagi menggalakkan Ahli Parlimen ASEAN menyampaikan idea baharu tanpa sekatan ke arah mencapai matlamat menjadi blok ekonomi keempat terbesar dunia.

Isu keselamatan dan kerjasama serantau juga dibincangkan bagi memperkukuh kedudukan Asia Tenggara sebagai zon aman dan berkecuali, supaya dapat menarik lebih banyak pelaburan asing katanya kepada media Malaysia ketika ditemui selepas sesi berkenaan.

Mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, beliau berkata Malaysia harus meninggalkan legasi yang boleh dibanggakan semasa menerajui blok serantau tersebut.

Johari bakal mengambil alih jawatan Presiden AIPA pada 18 Oktober ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI