PENANTI, 8 Februari- Sejumlah 23 buah motosikal dan sebuah kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) musnah dalam kebakaran sebuah bengkel kenderaan di Jalan Arumugam Pillai, Kampung Guar Perahu, Pulau Pinang, awal pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 3.18 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penanti digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera sebaik panggilan diterima itu.
Bantuan dari BBP Perai dan BBP Bukit Mertajam turut digerakkan bagi membantu operasi pemadaman.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fadzi Othman berkata, sejumlah 25 anggota bertugas dalam operasi tersebut termasuk penyelia pasukan.
Bagaimanapun, insiden tidak melibatkan sebarang mangsa.
"Kebakaran itu melibatkan sebuah bengkel motosikal dengan anggaran keluasan 20x30 kaki persegi dengan peratusan kemusnahan dianggarkan sehingga 70 peratus.
"Kebakaran turut memusnahkan 23 unit motosikal dan satu unit ATV kira-kira 90 peratus kemusnahan," menurut pihak itu dalam kenyataan.
Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 5.50 pagi dengan kehadiran polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di lokasi kejadian.
Kes terbabit diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) JBPM negeri untuk tindakan selanjutnya.