ALOR SETAR, 11 September-Sebuah bengkel mengecat kenderaan di Jalan Sintok, Kubang Pasu, Kedah diserbu Isnin lalu kerana menjadikan stor sebagai tempat pengumpulan minyak petrol secara haram.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin, serbuan berkenaan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 40-an.
Suspek menggunakan kereta yang disita untuk membuat pembelian minyak di stesen minyak.
"Serbuan dibuat anggota penguat kuasa; hasil risikan selama tiga minggu ke atas bengkel terbabit.
"Lelaki yang disyaki pemilik bengkel terbabit ditahan bersama-sama sebuah kereta, enam unit tong drum, peralatan memindah barang kawalan dan 1,200 liter minyak petrol tanpa lesen atau permit yang sah.
"Minyak petrol yang ditemukan berjumlah RM2,460 disita bersama-sama barangan lain dengan jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM7,860," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].