fb fb fb fb fb

Belia Malaysia perlu rebut peluang sambung pelajaran ke China, teroka pengetahuan & teknologi

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

SHANGHAI, 26 Mei - Peluang untuk menyambung pelajaran di China perlu direbut belia Malaysia bagi meneroka kelebihan pengetahuan dan teknologi yang dimiliki republik itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah tersebut berpotensi menerapkan kemahiran tinggi di kalangan belia untuk menyokong keperluan tenaga mahir tempatan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara meminta semua pihak berkaitan pendidikan tinggi termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) bertindak proaktif menggalakkan pelajar Malaysia menuntut ilmu di China.

"Bermula tahun ini, saya membuka peluang kepada pelajar MARA terutama GiatMara, UniKL untuk menghantar pelajar mereka ke China bagi tujuan menyambung pelajaran dan menimba ilmu di China. Disebabkan pemikiran konservatif, kita biasanya memandang ke arah negara Barat. Kita terlupa mengenai Asia selaku negara membangun, terutama China sangat pantas berkembang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti dan Pelajar Malaysia di Shanghai, China.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta untuk mempermudahkan proses kelulusan permohonan pelaburan asing dari negara luar di Malaysia terutama melibatkan rangkaian perniagaan China.

Beliau berkata, langkah sama perlu dilakukan agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) agar lebih proaktif bukan sahaja sebagai Pusat Sehenti tetapi mempermudahkan urusan berkaitan.

"Kalau agensi kita tidak mempercepatkan kelulusan, mereka mempunyai peluang untuk melabur di negara lain di Asean, jadi kita mesti segera dan ambil langkah proaktif untuk permudahkan semua permohonan yang perlu kelulusan segera bagi mereka meletakkan perniagaan di negara kita," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN