KOTA LAKSAMANA, 27 September - Belanjawan 2026 yang dirangka kerajaan memberi penekanan seimbang antara tuntutan ekonomi dan keperluan rakyat, khususnya dalam menangani kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan ekonomi tidak boleh hanya berpandukan teori klasik semata-mata kerana ia berisiko membebankan majoriti rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.
"Tetapi dalam pertimbangan sebuah negara, ada beberapa hal lain yang kita harus fikirkan. Kebaikan rakyat, keupayaan mereka menangani permasalahan kos sebab perumahan mereka.
"Itu sebabnya mengapa kebijaksanaan pimpinan menetapkan kebijakan ekonomi harus mengimbangi di antara 'pure economic prescriptions' dengan menyantuni kehendak rakyat", katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Belanjawan 2026 Pemain Industri Pelancongan dan Pembuatan bersama Perdana Menteri di sebuah hotel di Kota Laksamana.
Sesi libat urus ini disertai lebih 150 pemain industri pelancongan dan pembuatan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.
Datuk Seri Anwar berkata, langkah subsidi bersasar yang diperkenalkan pada harga petrol dan elektrik membuktikan kerajaan berjaya mengurangkan ketirisan serta menambah hasil negara tanpa menjejaskan 85 peratus isi rumah.