KUALA LUMPUR, 16 September - Belanjawan 2026 disaran memperluas inisiatif pengaturcaraan dan teknologi bagi membolehkan lebih ramai kanak-kanak menguasai kemahiran digital sejak usia muda.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Global Scope IT Education (M) Sdn Bhd | CIY.Club, Linggam Rammoo, berkata penubuhan lebih banyak pusat pengaturcaraan, robotik dan teknologi lain mampu mempercepat usaha pendigitalan negara.
“Apabila bercakap tentang kemahiran teknologi, asasnya ialah pengaturcaraan atau coding yang melibatkan bahasa seperti JavaScript, Python dan HTML. Pada masa sama, pelajar juga perlu meneroka reka bentuk 3D.
“Sebagai contoh, seseorang yang ingin menjadi arkitek atau pereka bentuk memerlukan kemahiran pemodelan. Justeru, kemahiran ini wajar diterokai sejak peringkat awal, bukan hanya ketika di universiti kerana ketika itu sudah dianggap agak lewat,” katanya kepada pemberita RTM.
Beliau menambah, kanak-kanak juga perlu didedahkan kepada aspek keselamatan digital, termasuk cara mengenal pasti laman sesawang tulen, mencipta kata laluan kukuh serta melindungi diri di alam maya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan antara fokus Belanjawan 2026 adalah melahirkan bakat baharu berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi.
Belanjawan 2026 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober depan.