fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Kerajaan tingkatkan peruntukan STR, SARA kepada RM13 bilion

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Kerajaan akan meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM13 bilion tahun hadapan, berbanding RM10 bilion sebelum ini.

Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada 9 juta penerima, bersamaan dengan 60 peratus penduduk negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan tersebut akan melibatkan 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah yang akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan, berbanding hanya 700,000 penerima pada tahun ini.

Katanya, bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKAD penerima mulai April 2025 dan boleh digunakan untuk membeli barangan asas seperti makanan, ubat-ubatan, barang persekolahan, dan keperluan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.

Kategori bujang pula akan menerima STR sebanyak RM600.

"Penambahan peruntukan sebanyak RM3 bilion membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700 sebelum ini," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Parlimen, hari ini.

Anwar turut mengumumkan peningkatan peruntukan bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM2.9 bilion, berbanding RM2.4 bilion.

"Ini termasuk kenaikan kadar Bantuan Warga Emas kepada RM600 sebulan dan peningkatan Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin, iaitu RM250 seorang bagi anak berusia enam tahun ke bawah, serta RM200 seorang bagi anak berusia tujuh hingga 18 tahun, dengan had maksimum RM1,000 sekeluarga," katanya.

Bagi Wilayah Persekutuan, Anwar berkata Kadar Bantuan Am akan dinaikkan kepada RM150 berbanding RM100 dengan kadar maksimum RM500 sekeluarga.

Anwar turut menyeru kerajaan negeri untuk menambah baik Kadar Bantuan Am di negeri masing-masing.

Sementara itu, Anwar turut memaklumkan bayaran STR 2024 Fasa 4 akan disalurkan kepada penerima mulai 7 November depan, melibatkan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN