fb fb fb fb fb

Bekas tentera dan polis dicadangkan jadi penguat kuasa kawal salah guna ketum - Zahidi

KANGAR, 29 Mei - Kerajaan dicadangkan untuk melibatkan penyertaan bekas tentera dan polis yang dapat bertindak sebagai sebahagian “penguat kuasa” mengawal penyalahgunaan daun ketum dalam kalangan rakyat di negara ini sekiranya penanaman pokok ketum dibenarkan bagi tujuan perubatan.

Penaung Persatuan Veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (PVTUDM) Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata tugas pengawalan dan penguatkuasaan ketum boleh dibantu pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terdiri daripada bekas tentera dan polis sekali gus ia akan memudahkan urusan kerajaan membanteras penyalahgunaan ketum.

"Sekarang ini saya tengah bincang dengan Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) dan kita telah melantik bekas pegawai tinggi polis (bahagian) narkotik, dan buat masa ini saya tidak mahu sebut nama lagi bersama jawatankuasa bekas tentera dan polis untuk memberi cadangan kepada saya untuk saya kemukakan kepada Menteri Kesihatan," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata demikian kepada pemberita pada Jamuan Aidilfitri PVTUDM Perlis di Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh dekat sini hari ini.

Pada April lepas, dalam laporan media Zahidi dipetik sebagai berkata perbincangan mengenai kebenaran penanaman ketum untuk tujuan perubatan mendapat “lampu hijau” daripada kerajaan apabila Kabinet tidak mempunyai halangan dan sudah memberikan kebenaran untuk satu perbincangan dilakukan pihaknya yang mewakili Parlimen Padang Besar bersama Menteri Kesihatan berhubung isu itu. - BERNAMA

Media Baharu