Bekalan stabil, permintaan bahan mentah meningkat pada awal Ramadan

Peniaga ayam, Saudi Abdullah ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar/RTM

ALOR SETAR, 19 Februari – Bekalan bahan mentah di Pasar Besar Alor Setar setakat ini masih mencukupi walaupun permintaan dijangka terus meningkat pada minggu pertama Ramadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permintaan ayam, daging, ikan dan sayur meningkat menjelang Ramadan terutama minggu pertama.
  • Bekalan dilaporkan masih mencukupi dan pembekal kembali beroperasi seperti biasa.
  • Harga berubah mengikut permintaan harian, dengan ayam dan daging menunjukkan kenaikan sedikit.
  • Pengunjung mahu harga kekal stabil dan pemantauan pihak berkuasa untuk kawalan harga.

Tinjauan RTM mendapati permintaan terhadap ayam, daging lembu, ikan segar dan sayur-sayuran meningkat berbanding hari biasa.

Peniaga memaklumkan bekalan kekal stabil, manakala harga bergantung kepada permintaan semasa serta bekalan harian.

Kebanyakan barangan dijual pada kadar pasaran semasa.

Bagaimanapun, ayam segar dan daging lembu menunjukkan sedikit peningkatan berikutan permintaan tinggi, manakala harga sayur-sayuran dan ikan bergantung kepada bekalan yang diterima setiap hari.

Seorang peniaga ayam, Saudi Abdullah berkata, sambutan pelanggan kali ini lebih menggalakkan berbanding tahun lalu.

“Alhamdulillah, sambutan amat memberangsangkan, tambahan pula bersempena cuti Tahun Baharu Cina.

“Untuk Ramadan kali ini, bekalan masih mencukupi dan pembekal sudah kembali beroperasi seperti biasa.” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Ida Ismail mengakui berlaku perubahan harga menjelang Ramadan.

“Harga memang ada peningkatan seminggu sebelum puasa, kadang-kadang berubah dua hingga tiga hari sekali.

“Kalau boleh, harap harga ayam dapat diturunkan sedikit kerana agak tinggi, kasihan kepada keluarga yang mempunyai ramai anak,” katanya.

Sementara itu, pembeli yang ditemui turut berkongsi pandangan mengenai harga dan pilihan barangan.

“Saya beli ikan dan sedikit sayur untuk berbuka puasa nanti. Harga di sini agak murah dan berpatutan,” kata Suhaiza Ahmad.

Bagi Zurina Saidin pula, pembelian dibuat secara sederhana mengikut keperluan harian.

“Saya beli ikan, ayam dan udang. Harga biasa dan masih berpatutan. Untuk masak kari dan lauk harian,” katanya.

Hanim Zakaria pula sudah merancang menu lebih awal dan berbelanja berdasarkan harga semasa.

“Petang ini nak buat cucur udang, jadi saya beli bahan untuk sambal udang dan tomyam. Setakat ini harga masih okay, sebab itu saya sanggup datang beli di sini walaupun tinggal di Kuala Kedah,” katanya.

Rata-rata pengunjung yang ditemui berharap harga bahan mentah kekal stabil sepanjang Ramadan selain pemantauan berterusan pihak berkuasa bagi memastikan ketelusan serta kawalan harga.