fb fb fb fb fb

Bekalan beras putih dalam negara mencukupi - Mohamad

Datuk Seri Mohamad Sabu

PONTIAN, 12 Oktober- Bekalan beras putih dalam negara dijamin mencukupi walaupun kira-kira 6,000 hektar jelapang padi di Kedah dan Perlis dilanda banjir, bulan lalu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, insiden luar jangka tidak menganggu keterjaminan makanan termasuk beras berikutan negara mempunyai perjanjian dan rundingan dengan beberapa negara lain bagi memastikan bekalan mencukupi.

Ketika ini, negara mengimport lebih 40 peratus bekalan beras dari negara sedia ada iaitu Thailand dan Vietnam, selain tambahan sebanyak 200,000 tan lagi dari Pakistan dan India bagi menampung keperluan dalam negara.   

"Bekalan beras tiada gangguan, tidak ada masalah, Beras akan ada. Kita pun di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melakukan usaha lain bagi menampung bekalan beras dalam negara tidak terganggu.

"Sekiranya BERLAKU perkara tidak dijangka kita masih ada PERJANJIAN dan rUNDINGAN DENGAN NEGARA LAIN. Itu semua bawah KPKM, jadi jangan bimbang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Tapak Agro Pelancongan Kampung Parit Jerman, di sini.

Harga beras dalam negara juga dijangka turun susulan nilai mata wang yang mengukuh menyebabkan penurunan harga barangan import.

Berkenaan banjir yang melanda kawasan padi di Kedah dan Perlis, pesawah dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM40 juta.

Bagaimanapun kerajaan menyediakan bantuan melalui tabung bencana tanaman padi bagi mengurangkan beban kerugian ditanggung pesawah terlibat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI