fb fb fb fb fb

Bekalan bawang di Negeri Sembilan dijamin mencukupi

Foto RTM

SEREMBAN, 7 Februari - Kerajaan Negeri Sembilan memberi jaminan bekalan bawang di negeri ini mencukupi.

Menurut Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, S.Veerapan pihaknya akan memastikan bekalan itu sentiasa mencukupi dan memantau perubahan harga bekalan sekali gus membendung cubaan mana-mana pihak agar tidak mengambil kesempatan.

Veerapan berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan dan kenaikan harga bawang di Negeri Sembilan.

"Di Negeri Sembilan bekalan bawang adalah cukup untuk rakyat.

"Jadi tak perlu bimbang. Memang kita tahu india buat masa ini tidak mengeksport bawang tapi untuk Negeri Sembilan bekalan adalah cukup", katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2024 peringkat Negeri Sembilan, di sini.

Terdahulu, media melaporkan terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap kekurangan bekalan bawang berikutan negara pengeksport utama bekalan itu iaitu India mengeluarkan larangan mengeksport sehingga Mac tahun depan. 

Sebanyak 11 jenis barangan dikawal di bawah SHMMP yang berkuatkuasa mulai hari ini sehingga 14 Februari depan.

Antaranya adalah bawang putih import China, ubi kentang import China, halia tua import, lobak merah, ikan bawal putih dan udang putih.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD