IPOH, 23 Februari- Sektor pelancongan di Pulau Pangkor sedia menerima kunjungan pelancong berikutan masalah gangguan bekalan air telah pulih sepenuhnya kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dalam satu kenyataan.
Perkara itu disebabkan pulau berkenaan mengalami masalah gangguan bekalan air tidak berjadual sejak awal bulan lalu.
Saarani menjelaskan masalah yang berpunca daripada kebocoran di beberapa saluran paip rentas dasar laut itu berjaya diselesaikan oleh Lembaga Air Perak (LAP) menerusi beberapa langkah mitigasi.
"Selain kerja-kerja pembaikan, LAP juga telah melaksanakan beberapa langkah mitigasi bagi mengatasi masalah berkenaan, termasuklah Meningkatkan bekalan air ke daerah Manjung ke paras optimum.
"Melaksanakan pengezonan semula bekalan di kawasan yang terlibat dengan gangguan, lori tangki air dalam mod bersedia untuk digerakkan; dan penyediaan tangki-tangki statik di lokasi-lokasi strategik," katanya dalam kenyataan itu.
Dalam pada itu, paras kolam air di Pulau Pangkor menunjukkan trend peningkatan positif manakala Teluk Nipah, Teluk Dalam dan Sungai Pinang Kecil turut dilaporkan pulih sepenuhnya.
Bagaimanapun LAP akan terus memantau kestabilan bekalan air ke kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang terutamanya sepanjang kempen Tahun Melawat Perak 2024.