BDR sektor swasta perlu garis panduan komprehensif

Gambar hiasan janaan AI

KUALA LUMPUR, 4 April – Pelaksanaan sistem Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam sektor swasta dilihat sebagai langkah proaktif dalam mengimbangi situasi semasa di samping menjaga kebajikan pekerja.

RINGKASAN BERITA AI
  • Garis panduan komprehensif diperlukan untuk memastikan pelaksanaan BDR tersusun, berkesan dan menjadi rujukan kepada majikan serta pekerja.
  • Datuk Mohamed Shafie menggesa syarikat swasta bertindak secara sukarela dan mengambil inisiatif tanpa menunggu paksaan atau tekanan.
  • Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan dasar BDR bermula 15 April, melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun dan GLC.

Bagaimanapun, pelaksanaannya memerlukan garis panduan yang komprehensif bagi memastikan ia dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, garis panduan tersebut penting bukan sahaja sebagai rujukan kepada majikan, malah mampu membentuk disiplin dalam kalangan pekerja.

“Garis panduan ini sangat penting. Ia bukan sahaja menjadi rujukan kepada majikan, tetapi juga membentuk disiplin kepada pekerja,” katanya.

Beliau turut menggesa syarikat swasta agar tampil secara sukarela dalam melaksanakan dasar berkenaan tanpa menunggu arahan atau tekanan pihak tertentu.

“Ada baiknya sekarang syarikat-syarikat swasta tampil ke hadapan. Jangan tunggu sampai dipaksa atau ditekan baru hendak melaksanakan. Mereka perlu secara sukarela melihat keadaan semasa yang kurang sesuai dan mengambil inisiatif,” katanya lagi ketika dihubungi RTM.

Terdahulu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 April lalu bersetuju melaksanakan dasar BDR bermula 15 April ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan dasar itu melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal