fb fb fb fb fb

Bayi baru berusia 24 hari meninggal dunia

SEREMBAN, 6 Mac - Seorang bayi perempuan berusia 24 hari disahkan meninggal dunia selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumahnya di Kampung Batu 1, Pedas Tengah, Rembau di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata ibu mangsa, Rohaya Abu Bakar berusia 42 tahun menyusukan anaknya Nurul Ain Darwisya Hanafiruz pada jam 12.39 tengah hari sebelum tidur dan diletakkan dalam kereta sorong di ruang tengah rumah mereka.

"Setengah jam kemudian, kakak mangsa yang ingin membetulkan kain bedung Nurul Ain Darwisya mendapati adik bongsunya itu tidak memberikan sebarang tindak balas.

“Ibu bayi tersebut terus membawanya ke Unit Kecemasan Hospital Rembau dan hasil pemeriksaan doktor mendapati tiada nadi dikesan serta tubuh bayi dalam keadaan telah sejuk.

“Bantuan pernafasan juga telah diberikan tetapi tiada tindak balas sebelum doktor mengesahkan kematiannya ," katanya menerusi kenyataan media semalam.

Katanya, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia sebelum di bawa ke Hospital Rembau.

(Gambar hiasan/Foto Pexels)

Menurut Hazri, doktor yang merawat bayi tersebut memaklumkan Nurul Ain dilahirkan dalam keadaan sempurna namun wajahnya menunjukkan tanda sindrom Down dan pemeriksaan susulan sepatutnya dilakukan apabila bayi itu berusia sebulan.

Proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian akan dilakukan sebaik keputusan ujian COVID-19 diperoleh dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut ," katanya.

Media Baharu