Bayaran zakat kini boleh melalui PAMM di Kedah

Majlis Pelancaran Amil Kutipan Zakat PAMM 2026 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Alumni Maktab Mahmud, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad/ Foto FB PAMM

ALOR SETAR, 11 Mac – Pembayaran zakat kini boleh dilakukan melalui Persatuan Alumni Maktab Mahmud (PAMM) yang dilantik oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebagai ejen atau amil kutipan zakat yang sah di negeri Kedah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama dijangka meningkatkan kutipan dan memudahkan orang ramai membayar zakat, termasuk zakat fitrah.
  • Segala transaksi dikendalikan oleh sistem rasmi LZNK, termasuk resit digital dan pengesahan emel kepada pembayar.
  • LZNK menyeru penduduk membayar kepada ejen dilantik sahaja; kira-kira 740 institusi telah dilantik sebagai amil zakat di Kedah.

Jalinan kerjasama itu dijangka meningkatkan jumlah kutipan serta memberi kemudahan kepada orang ramai untuk membayar zakat termasuk zakat fitrah.

Yang Dipertua Persatuan Alumni Maktab Mahmud, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad berkata semua kutipan zakat yang dijalankan melalui persatuan itu adalah sebagai ejen sah LZNK sahaja.

Beliau berkata, segala transaksi dikendalikan terus oleh sistem rasmi LZNK termasuk penjanaan resit digital serta pengesahan melalui emel kepada pembayar.

Tegas beliau, mana-mana pihak yang mengaku atau menggunakan nama PAMM untuk tujuan pengutipan zakat di luar kerjasama rasmi adalah tidak sah dan menyalahi peraturan.

Katanya, pendekatan ini bagi menjamin ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan pembayar terhadap PAMM dan LZNK.

“Dia faham tanggungjawab, dia faham kewajipan yang perlu dilaksanakan, antara kewajipannya adalah zakat dan bagi yang berniaga khususnya Alumni Maktab Mahmud ini ramai juga tokoh-tokoh hebat dalam perniagaan.

“Sama ada zakat pendapatan atau perniagaan ia boleh kembalikan balik kepada LZNK melalui perantaraan kita (Alumni Maktab Mahmud) sebagai amil zakat ini.

“Pihak LZNK akan bagi kita wakalah untuk kita sebarkan(agihkan) kepada masyarakat yang memerlukan, asnaf yang memerlukanlah khususnya”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada RTM selepas Majlis Pelancaran Persatuan Alumni Maktab Mahmud sebagai amil kutipan zakat Lembaga Zakat Negeri Kedah di Darul Maahad, Persatuan Alumni Maktab Mahmud di Jalan Pegawai, Alor Setar.

Sementara itu, Ketua Divisyen Pengurusan Ejen & Penolong Amil, Lembaga Zakat Negeri Kedah, Mohd Adil Mustaffa berkata, setiap amil kutipan zakat bertanggungjawab memastikan kutipan zakat diurus dengan cekap dan agihan dilakukan secara berkesan.

“Jadi kami Lembaga Zakat Negeri Kedah menyeru kepada semua penduduk negeri Kedah secara khususnya untuk kita membayar zakat kepada ejen-ejen yang dilantik secara sah oleh LZNK.

“Pastikan bayaran tuan-tuan (dibuat) kepada ejen-ejen yang dilantik secara sah kepada LZNK”, katanya.

Katanya, sehingga kini, kira-kira 740 institusi terdiri daripada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), masjid, dan sekolah agama dilantik sebagai amil zakat di Kedah.