KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Kerajaan umum pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 2025 yang dijadualkan pada November akan diawalkan kepada 18 Oktober ini, bersempena sambutan perayaan Deepavali pada 20 Oktober.
- Pembayaran STR Fasa 4 2025 diawalkan kepada 18 Oktober bersempena sambutan Deepavali.
- Langkah ini bertujuan membantu rakyat, khasnya masyarakat India, membuat persiapan perayaan.
- Kerajaan umum diskaun tol 50% selama dua hari sempena Deepavali untuk meringankan beban.
- Peruntukan RM13 bilion untuk pelaksanaan STR dan SARA memberi manfaat hampir sembilan juta penerima.
- SARA menunjukkan kadar penggunaan tinggi 98%, memastikan bantuan untuk barangan asas dan menyokong perniagaan kecil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu bagi membantu rakyat, khususnya masyarakat India, membuat persiapan menjelang perayaan tersebut.
Turut diumumkan diskaun tol 50% selama dua hari sempena dengan Deepavali sebagai tambahan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban rakyat.
Menurut Perdana Menteri, tahun ini kerajaan memperuntukkan RM13 bilion bagi pelaksanaan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memberi manfaat kepada hampir sembilan juta penerima.
Katanya, pelaksanaan SARA menunjukkan kadar penggunaan tinggi mencecah 98 peratus, membuktikan keberkesanan kaedah bantuan bersasar tersebut.
“SARA memastikan bantuan digunakan untuk barangan asas seperti makanan, ubat dan alat sekolah, selain membantu lebih 8,400 premis termasuk kedai runcit kecil tempatan,” jelasnya.