fb fb fb fb fb

Bayaran STR Fasa 3 mula dikreditkan Khamis ini

SUMBER KEMENTERIAN KEWANGAN - MOF

KUALA LUMPUR, 23 Ogos- Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 akan mula disalurkan kepada lebih 8 juta penerima sedia ada mulai Khamis ini, 29 Ogos manakala bayaran kepada penerima baharu dan rayuan akan dibuat mulai 18 September.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, bantuan tunai sehingga RM650 akan diagihkan mengikut kategori kelayakan masing-masing.

"Penerima sedia ada dan penerima baharu/rayuan yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 3 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat," menurut kenyataan hari ini.

Menurut MOF bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat, mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun.

Sehubungan itu pemohon yang tiada dalam pangkalan data perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan.

"Status kelayakan STR dibuka untuk semakan mulai 29 Ogos 2024 dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan bantuantunai.hasil.gov.my," menurut kenyataan.

Dalam masa sama penerima dinasihat agar sentiasa berwaspada dengan pautan tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab berkaitan program STR.

"Sebagai perlindungan daripada kes penipuan (scam), pihak MOF tidak membuat penghantaran SMS dan mesej WhatsApp meminta maklumat peribadi kepada individu," menurut kenyataan.

Melalui Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan STR ditingkatkan sebanyak RM2 bilion atau 25% daripada RM8 bilion pada tahun 2023 kepada RM10 bilion yang memanfaatkan penerima yang meliputi hampir 60% penduduk dewasa Malaysia.

"Penambahan peruntukan bagi STR 2024 mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk membantu meringankan cabaran kos sara hidup rakyat, terutamanya bagi keluarga di bawah kategori B40 dan M40 terendah," jelas Perdana Menteri.

SITI AISHAH MD ISA