fb fb fb fb fb

Bawa masuk pekerja asing Indonesia dan Bangladesh, kini terserah kepada majikan - Saravanan

(Datuk Seri M.Saravanan bercakap pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang (APC) KSM 2021 di Putrajaya)

PUTRAJAYA, 2 Ogos - Kementerian Sumber Manusia (KSM) sudah menyelesaikan segala proses kemasukan pekerja asing terutamanya daripada negara Indonesia dan Bangladesh.

Menterinya, Datuk Seri M.Saravanan memaklumkan kini terserah kepada majikan untuk membawa masuk pekerja masing-masing, pada bila-bila masa sahaja.

"Serah kepada majikan selepas ini bukan lagi tanggungjawab kementerian, kementerian telah menyelesaikan semua proses usul kepada Bangladesh dan Indonesia, serah kepada majikan, mereka boleh masuk, bila-bila masa mereka boleh ambil," kata beliau selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KSM 2021, di sini.

Indonesia bersetuju menarik balik sekatan kemasukan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) ke Malaysia bermula 1 Ogos.

Persetujuan dicapai selepas kedua-dua negara sepakat untuk mengintegrasi sistem sedia ada antara Jabatan Imigresen dan Kedutaan Besar Republik Indonesia bagi pengambilan PDI.


(Foto fail)

Pada majlis tersebut, sebanyak 633 warga KSM dan agensi dibawahnya terpilih menerima APC bagi tahun 2021.

Saravanan berkata penganugerahan tersebut tidak hanya satu manifestasi penghargaan tetapi sebagai penyuntik semangat kepada warga KSM untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik.

"Ini sebagai satu insentif kepada penjawat awam khususnya, KSM telah memainkan peranan penting dalam (menangani) COVID-19 di mana pelbagai agensi di bawah KSM dipertanggungjawabkan untuk program di seluruh negara," jelas beliau.

Turut hadir Timbalan Menterinya Datuk Awang Hashim, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) A Maniam, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Datuk Mohd Khair Razman Mohamed Annuar.

Media Baharu