MUAR, 24 Ogos - Bau busuk dari sebuah rumah di Sungai Abong, di sini membawa kepada penemuan dua mayat lelaki, pada Jumaat.
Mayat tersebut dipercayai bapa dan anak, berumur 76 dan 37 tahun yang telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata siasatan awal mendapati anak lelaki itu merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU).
Polis turut menemui seorang lagi wanita OKU berumur 44 tahun di dalam rumah yang sama dipercayai anak kepada lelaki berkenaan.
Wanita OKU tersebut ditemui dalam keadaan lesu dan kelaparan.
Kedua-dua mayat kini dalam proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.