
KUALA LUMPUR, 1 April – Pembatalan semua penerbangan bagi laluan Kuching ke Kota Kinabalu oleh Batik Air bermula hari ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada pelarasan operasi susulan keadaan global semasa.
- Pelarasan operasi dilakukan sebagai usaha berterusan mengurus operasi dengan bertanggungjawab demi memastikan kelestarian syarikat.
- Perubahan bersifat sementara, syarikat akan mempertimbangkan pemulihan laluan apabila keadaan pasaran bertambah baik.
- Penumpang terjejas boleh menjadual semula tanpa kos atau memohon bayaran balik penuh; makluman rasmi dan khidmat pelanggan disediakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, dalam satu kenyataan berkata, pelarasan tersebut merupakan usaha berterusan syarikat untuk menguruskan operasi secara bertanggungjawab.
Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan kelestarian operasi syarikat terus terjamin, selain menangani cabaran berterusan dalam industri penerbangan, termasuk ketidaktentuan global, turun naik penawaran dan permintaan, serta perubahan keadaan pasaran.

“Kami sentiasa menyemak rangkaian dan kapasiti operasi bagi memastikan perkhidmatan kekal stabil, cekap serta selaras dengan keadaan semasa.
“Perubahan ini adalah bersifat sementara, dan apabila keadaan bertambah baik, kami akan mempertimbangkan untuk memulihkan atau membuka semula laluan yang terjejas, apabila keadaan kembali pulih,” katanya.
Bagi penumpang yang terjejas, Batik Air menyediakan beberapa pilihan selaras dengan polisi pelanggan sedia ada.

Beliau berkata, penumpang boleh memilih untuk menjadualkan semula penerbangan ke tarikh lain tanpa sebarang kos tambahan atau memohon bayaran balik penuh sekiranya pilihan alternatif tidak memenuhi keperluan perjalanan mereka.
Dalam pada itu, syarikat turut memberi jaminan semua penumpang terlibat akan menerima makluman melalui saluran komunikasi rasmi.
Pasukan perkhidmatan pelanggan juga sedia membantu bagi memastikan urusan berjalan lancar.