TANJUNG MALIM, 19 Februari- Seramai 24 penumpang sebuah bas berdepan detik cemas selepas kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan sebelum terbabas ke dalam gaung di Kilometer (KM) 392 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, petang tadi.
Bas membawa pekerja warga asing itu dilapor bertembung dengan sebuah lori penyelenggaraan jalan sebelum hilang kawalan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.27 petang.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim dan BBP Slim River dikerahkan ke lokasi.
Pemandu dan kelindan lori serta seorang pekerja penyelenggaraan mengalami kecederaan dalam insiden itu. Bagaimanapun, kesemua 24 penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan lanjut.