KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Negara Barat tidak seharusnya mengajar dunia Islam tentang demokrasi, hak asasi manusia atau kemampanan pembangunan, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, Anwar menggesa negara-negara Barat untuk menghentikan naratif tidak tepat mengenai konflik di Gaza.
Dalam ucapannya pada Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk al-Aqsa dan Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Anwar menyatakan bahawa media yang dikuasai oleh Barat sering menyebarkan maklumat yang tidak tepat mengenai situasi di Gaza.
"Media Barat mengawal naratif, contohnya, menyebut tentang pelanggaran peraturan pada 7 Oktober. Namun, pemusnahan masjid sebenarnya telah berlaku sejak 1948 dan berterusan hingga kini.
"Penjajahan langsung Masjidil Aqsa pada 1969 dan kini, genosid serta pembantaian yang tidak berkesudahan membabitkan bangunan, manusia, kanak-kanak, dan wanita," katanya.
Dalam pada itu, Anwar sekali lagi menegaskan pendirian Malaysia untuk tidak membenarkan syarikat yang berdaftar dengan Israel, masuk dan melakukan sebarang aktiviti di negara ini.