Barangan keperluan asas import mencukupi – Armizan

Foto Facebook Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR, 26 Mac Bekalan barangan keperluan asas yang diimport kekal mencukupi meskipun berdepan cabaran susulan konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama berterusan antara kerajaan dan pemain industri peruncitan untuk menangani isu bekalan dan kos.
  • Perkara dibincangkan dalam sesi libat urus bersama Malaysia Retail Association sebagai wakil sektor peruncitan utama.
  • Terdapat cabaran khusus termasuk kenaikan kos logistik serta kos bahan pembungkusan yang menjejaskan operasi.
  • KPDN akan memperkukuh kerjasama strategik dan memantau pasaran untuk memastikan kepentingan pengguna terpelihara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menerusi hantaran Facebook memaklumkan, ia merupakan hasil kerjasama berterusan antara kerajaan dan pemain industri peruncitan.

Perkara tersebut dibincangkan dalam sesi libat urus bersama Malaysia Retail Association (MRA), yang merupakan antara organisasi induk utama sektor peruncitan negara.

“Bekalan barang-barang keperluan asas yang diimport adalah mencukupi sungguhpun berhadapan dengan beberapa isu khususnya peningkatan kos logistik dan bahan pembungkusan,” menurut hantaran itu.

Walaupun konflik di Asia Barat memberi implikasi kepada keterjaminan bekalan serta kestabilan harga, namun langkah proaktif kerajaan dan industri berjaya memastikan rantaian bekalan kekal stabil.

KPDN akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama industri bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.

Pada masa sama, kementerian itu turut memantau perkembangan semasa bagi memastikan tiada gangguan serius terhadap bekalan barangan keperluan asas di pasaran.