fb fb fb fb fb

Bantuan tunai subsidi diesel untuk sektor pertanian, bawah Program BUDI Agri-Komoditi

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 27 Mei- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyokong inisiatif pemberian bantuan tunai subsidi diesel kepada petani, penternak dan pengusaha akuakultur melalui Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.

Kementerian Kewangan (MOF) hari ini telah mengumumkan pelaksanaan BUDI MADANI susulan kenyataan Perutusan Negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tempoh hari, berhubung keputusan jemaah menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel di Semenanjung.

KPKM dalam satu kenyataan berkata, bagi membantu menstabilkan kos operasi sektor pertanian, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai bulanan sebanyak RM200 di bawah inisiatif BUDI Agri-Komoditi kepada petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang memenuhi syarat-syarat.

"Syarat-syarat tersebut adalah warganegara Malaysia atau pertubuhan berdaftar di Malaysia, individu atau pertubuhan perlu berdaftar dengan KPKM melalui Sistem Pendaftaran GeoAgro, individu atau pertubuhan perlu membuat permohonan dengan MOF melalui Portal BUDI MADANI termasuk membuat pengesahan pendapatan."

"Julat pendapatan kasar tahunan daripada nilai jualan hasil pertanian daripada RM50,000 hingga RM300,000 dan individu atau pertubuhan yang mengusahakan tanaman atau ternakan atau akuakultur dan menghasilkan pengeluaran secara berterusan," kata kenyataan itu.

Jelas KPKM, petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang berkelayakan perlu mendaftar terlebih dahulu melalui Sistem GeoAgro di pautan https://geoagroregister.kpkm.gov.my dan membuat permohonan di Portal BUDI MADANI di pautan https://budimadani.gov.my.

Pada masa sama, subsidi dan insentif sedia ada kepada golongan nelayan dan pesawah akan terus dikekalkan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM