fb fb fb fb fb

Bantuan subsidi FLYsiswa dinaikkan RM400 - Anwar

Anwar Ibrahim / Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 12 Disember- Kadar bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan, FLYsiswa dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 seorang, berkuat kuasa 1 Januari 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan inisiatif itu berkata ia bertujuan meringankan beban mahasiswa dari Sabah, Sarawak, dan Labuan.

Inisiatif itu dijangka memanfaatkan lebih 74,500 pelajar daripada universiti awam, politeknik, Institusi Pendidikan Guru (IPG), dan matrikulasi di seluruh negara.

"Sebab itu kita bagi bantuan menerusi FLYsiswa, dan untuk tahun hadapan, kita naikkan kepada RM400 daripada RM300 sebelum ini.

"Ini cara kita menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban anak-anak dari negeri yang terlibat," katanya ketika merasmikan Karnival FLYsiswa dan Karnival Pengangkutan Siswa MADANI di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Pelajar yang menerima manfaat daripada peningkatan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas inisiatif berkenaan.

"Perasaan saya seronoklah sebab walaupun cuma naik RM100, ia tetap banyak membantu. Sebelum ini RM300 tak cukup untuk cover kedua-dua tiket, pergi dan balik. Macam saya dari Sarawak, inisiatif ini boleh membantu lebih banyak," kata pelajar, Amir Nur Rashid Nizam.

"Kepada kerajaan, khususnya Kementerian Pengangkutan, terima kasih atas peningkatan subsidi ini. Ia sangat membantu kami, terutama pelajar dari Borneo yang memerlukan perbelanjaan tinggi untuk pengangkutan," kata pelajar, Zulfadzli Bahar Abdullah.

"Saya rasa bersyukur sebab sebelum ini kena fikir dua tiga kali nak balik setiap kali cuti. Walaupun cuti seminggu, itu pun perlu fikir balik atau tidak. Dengan bantuan ini, lebih mudah untuk anggar perbelanjaan dan balik kampung," kata pelajar, Viana Easter.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM