Bantuan masyarakat orang asli: Kerajaan Madani pastikan tiada golongan tercicir

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli /RTM

SEREMBAN, 4 April -Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempergiat usaha menyantuni komuniti Orang Asli bagi memastikan golongan tersebut tidak tercicir daripada menerima bantuan susulan peningkatan kos sara hidup akibat konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Majlis Tautan Rahmah MADANI menyalurkan bantuan dan hadiah kepada komuniti Orang Asli.
  • Inisiatif itu mengukuhkan semangat kebersamaan dan gerakan massa selaras aspirasi Malaysia MADANI.
  • Penerima bantuan menyatakan kesyukuran kerana sumbangan membantu meringankan beban hidup akibat kenaikan harga.

Seramai 200 orang asli termasuk wakil dari Melaka, Johor, Perak, Selangor, dan Pahang menerima bantuan pada program Majlis Tautan Rahmah MADANI yang yang berlangsung selama dua hari di KOA Belihoi, Mantin.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli, menegaskan komitmen kerajaan dalam membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Alhamdulillah, Kerajaan MADANI melalui JAKIM menunjukkan satu keseriusan dalam meneruskan bantuan kepada semua peringkat masyarakat, tidak kira agama, apapun bangsa, untuk sama-sama merasakan inisiatif-inisiatif daripada kerajaan”, katanya demikian selepas menyampaikan bantuan dan hadiah kepada para pemenang pertandingan.

Selain penyampaian bantuan dan hadiah pertandingan, program tersebut menjadi platform untuk membina gerakan massa dalam memupuk semangat kebersamaan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sementara itu, inisiatif berkenaan disambut baik oleh para penerima bantuan.

Sheney Syariezan, 24, seorang pemandu van sekolah meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima bagi menampung keperluan keluarganya

“Memang rasa terbeban juga dengan keadaan sekarang, harga barang makin naik. Jadi bila dapat bantuan macam ni, sangat membantu kami sekeluarga, terutama untuk keperluan harian…kami bersyukurlah”, ujarnya.

Nada yang sama turut dikongsi oleh Mohd Rafli @ Rafiq Darus, 42, seorang penoreh getah yang mengakui kenaikan harga minyak dan barangan keperluan memberi kesan besar kepada tanggungan keluarga.

“Alhamdulillah sangat dengan bantuan Timbalan Menteri Agama ni..sekurang-kurangnya dapat kurangkan beban keluarga…lebih-lebih lagi sekarang semuanya mahal, minyak pun dah naik harga…tanggungan banyak, jelasnya.