fb fb fb fb fb

Fahaman menyimpang, Anwar seru tindakan bersepadu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi JAKIM, hari ini / Foto PMO

KUALA LUMPUR, 24 September – Kerajaan memandang serius isu fahaman yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Untuk itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi penguat kuasa untuk mengambil tindakan bersepadu bagi membanteras fahaman tersebut hingga ke akar umbi.

“Moga Allah melindungi kita dan negara ini daripada sebarang bahaya serta ancaman yang boleh merosakkan pegangan akidah dan syariat,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook selepas pertemuan dengan pengurusan tertinggi JAKIM, hari ini.

Anwar turut membincangkan perkembangan sektor halal yang memerlukan kerjasama antara agensi Persekutuan bagi memperkukuh industri halal di Malaysia dan luar negara.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan terhadap agensi itu sebagai peneraju hal ehwal agama di peringkat persekutuan.

Ketua Pengarah JAKIM, Datin Paduka Hajah Hakimah Mohd Yusoff, berkata kepimpinan JAKIM sentiasa komited melaksanakan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berpegang teguh kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

"Kami sentiasa mengambil serius arahan dan nasihat Perdana Menteri serta berazam meningkatkan kecemerlangan JAKIM untuk memajukan ummah dan negara," katanya menerusi kenyataan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN