KUALA NERUS, 3 Disember- Empat terkorban dalam banjir gelombang pertama di Terengganu.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, terbaharu kematian melibatkan anggota di Pusat Latihan Polis, Pulapol Dungun, Wan Muhamad Firdaus Wan Nasir, 36 tahun yang ditemukan lemas di Ladang Kelapa Sawit, Ketengah Jaya, Dungun.
Korban pertama melibatkan seorang warga emas Tuan Jusoh Tuan Hassan, yang ditemukan lemas di kawasan sawah di Besut 28 November lalu.
Manakala dua beradik, Puteri Sajidah Azman, 16 dan Siti Fatimah, 13 tahun yang terkorban akibat tanah runtuh di Hulu Terengganu menjadi korban kedua dan ketiga.
"Sehingga ke hari ini, korban banjir empat orang yang mana satu kes di Besut, dua di Hulu Terengganu dam satu di Dungin membabitkan anggota polis PULAPOL.
"Tempoh MTL kali ini panjang sehingga Mac dan kita harap tiada lagi kes kematian dicatatkan," katanya.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan banjir kepada 49 anggota dan pegawai polis di beberapa daerah yang terjejas banjir di Kuala Nerus.
Mengulas lanjut beliau berkata, tiga pondok polis di Pasir Raja, Felda Tenang, besut, Kuala Jengai Dungun dan Balai Polis Manir, Kuala Terengganu ditenggelami banjir dalam gelombang pertama tahun ini.
Sementara itu, dua laporan kes jenayah diterima semasa tempoh banjir.
Kes pertama melibatkan tiga remaja berusia antara 14 dan 16 tahun yang ditahan selepas dipercayai memecah masuk pejabat pentadbiran di sebuah sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara, PPS dekat Jertih, Besut.
Kerugian dianggarkan RM3,000.