fb fb fb fb fb

Banjir: Terengganu dan Pahang berkurang, Kelantan meningkat

FOTO INFOBENCANAJKM

KUALA LUMPUR, 25 Januari- Bilangan penduduk terjejas banjir membabitkan Terengganu, Kelantan dan Pahang berkurangan kepada 1,604 orang petang ini berbanding 2,626 orang tengah hari tadi.

Menurut Portal Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Terengganu mencatatkan 1,067 orang daripada 312 keluarga yang berlindung di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4.00 petang tadi, berbanding 2,105 orang daripada 605 keluarga di 27 PPS setakat pukul 12.00 tengah hari tadi.

Ia melibatkan empat daerah terjejas iaitu 603 orang di Setiu, diikuti Dungun (268), Hulu Terengganu (183) dan Besut (13).

Pahang juga mencatatkan penurunan daripada 160 orang dengan 70 keluarga di sebuah PPS, berbanding 171 orang dengan 74 keluarga di dua PPS.

Ketika ini, hanya daerah Kuantan yang terjejas banjir bagi negeri tersebut.

Data NADMA berkenaan turut menunjukkan satu kematian akibat bencana banjir di daerah terbabit semalam.

Bagaimanapun, situasi banjir di  Kelantan merekodkan peningkatan iaitu 377 orang daripada 129 keluarga di tiga PPS, berbanding 350 orang daripada 122 keluarga di dua PPS.

Daerah Pasir Puteh mencatatkan 350 penduduk, manakala Kuala Krai (27).

SITI AISHAH BINTI MD ISA