KUCHING, 20 Januari-Penduduk terjejas banjir dari Rumah Tembawai Kapok, Awik di Saratok yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara, PPS Dewan Rumah Dayak, Saratok mencatat peningkatan setakat pukul 4.00 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kemaskini laporannya memaklumkan, bilangan penduduk terjejas yang dipindahkan meningkat kepada 89 orang, berbanding 85 orang pagi tadi.
Walau bagaimanapun, bilangan Ketua Isi Rumah, KIR kekal 21.
PPS Dewan Rumah Dayak Saratok diaktifkan semalam (Ahad) selepas kawasan rumah panjang berkenaan ditenggelami air sedalam 1.24 meter.
Sementara itu, beberapa kawasan di Mukah yang dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak semalam sudah mula surut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, Nicholas Belulin berkata, hampir 80-peratus kawasan yang terjejas beransur surut dan jalan utama dapat dilalui kenderaan.
Keadaan semasa adalah terkawal dengan paras air kurang 0.3 meter dan tiada pemindahan penduduk dilakukan setakat ini.
Banjir yang berlaku pada Ahad menjejaskan 12 kampung dan kawasan kuarters Jabatan Kesihatan Daerah Mukah.
Antara kampung terbabit ialah Kampung Tellian Tradisi, Kampung Tellian Tengah,Kampung Tellian Ulu, Kampung Sesok dan Kampung Teh.