fb fb fb fb fb

Banjir: Petani di Kelantan rugi hampir RM13.5 juta

Anggaran awal itu melibatkan kawasan pertanian terutama tanaman padi seluas hampir 2,300 hektar membabitkan kira – kira 930 petani.

PASIR PUTEH, 7 Disember- Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menganggarkan petani dalam kawasan seliaannya rugi hampir RM13.5 juta akibat banjir yang melanda Kelantan.
 
Anggaran awal itu melibatkan kawasan pertanian terutama tanaman padi seluas hampir 2,300 hektar membabitkan kira – kira 930 petani.

Menurut Timbalan Pengurus Besar KADA, Mohd Razif Abdullah, permohonan lengkap akan diserah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk dipertimbang bayaran pampasan kerugian.

"KADA pada peringkat awal ini telah menggerakkan dan juga mengarahkan pegawai di peringkat lapangan untuk membuat bancian terhadap pesawah - pesawah terlibat dengan musibah banjir ini dan di antara perkara yang di titikberatkan adalah untuk dapatkan laporan polis dan juga mengesahkan bencana ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara kriteria kelayakan adalah usia padi yang di tenggalami air mestilah berusia 70 hari dan ke atas.
 
Terdahulu Mohd Razif meninjau kawasan tanaman padi yang terjejas banjir di Kampung Tok Ajam, di sini, hari ini.
 
Keseluruhan petani terkesan membabitkan hampir ke semua kawasan pertanian KADA termasuk di jajahan Pasir Puteh, Pasir Mas dan sebahagian Kota Bharu.
 
Untuk rekod terdapat seramai 7, 721 petani mengusahakan tanaman padi dalam kawasan KADA membabitkan kawasan seluas lebih 26,000 hektar.

ZEHRA BINTI ZAMBRI