fb fb fb fb fb

Banjir: Penduduk terjejas di Kelantan meningkat kepada 4589 orang

Foto fail

KOTA BHARU, 4 Disember- Penduduk terjejas banjir di Kelantan meningkat kepada 4,589 orang, daripada 1,462 keluarga setakat 9.00 pagi berbanding 4,530 orang malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, penduduk terjejas ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan Pasir Mas dan Tanah Merah.

Sebanyak 12 PPS dibuka di Pasir Mas, manakala satu lagi di Tanah Merah.

Di Pasir Mas, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Gual Tinggi menempatkan paling ramai penduduk terjejas iaitu, 903 orang daripada 296 keluarga, diikuti (SK) Gual To'Deh, (813 orang daripada 264 keluarga), SK Seri Rantau Panjang 2 (711 orang daripada 243 keluarga), SMK Baroh Pial (634 orang daripada 225 keluarga), SMK (Agama) Lati (88 orang daripada 23 keluarga), SK Lati (223 orang daripada 62 keluarga), Masjid Mukim Padang Licin (116 orang daripada 45 keluarga) dan SK Gual Periok (269 orang daripada 79 keluarga).

Selain, PPS lain di Pasir Mas SK Sri Kiambang menempatkan 345 penduduk terjejas daripada 107 keluarga, SK Chicha Tinggi (261 orang daripada 72 keluarga) dan Madrasah Tasek Bakong yang dibuka hari ini (34 orang daripada 11 keluarga).

Manakala, di Tanah Merah, PPS Balai Raya Padang Kijang menempatkan 19 orang daripada 8 keluarga.

Sementara itu, Sungai Golok di Pasir Mas merekodkan bacaan paras bahaya iaitu 9.97 meter (m) manakala, Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula berada pada tahap waspada dengan bacaan 2.30m.

ROSLINA BINTI DIN