KOTA TINGGI, 3 Oktober- Nilai kerugian akibat bencana banjir sepanjang tahun 2023 berjaya dikurangkan kepada kira-kira RM755 juta, berbanding RM1.03 bilion tahun sebelumnya.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kejayaan itu adalah hasil daripada pengurusan cekap dan berkesan pelbagai pihak.
Susulan itu juga, kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melancarkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.
"Kita baru mendapat kelulusan Kabinet dua minggu yang lalu iaitu Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara dan prosedur operasi standard (SOP) itulah yang kita gunakan untuk melakukan koordinasi di dalam mengurangkan risiko bencana ini", katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat ditemui selepas melancarkan Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional di Kota Tinggi, Johor.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Turut dilancarkan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di Dewan Serbaguna Taman Daya. Ia merupakan PPKB kedua dilancarkan selepas Pahang. Selepas ini, PPKB akan dibuka di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
"Nasihat datang daripada Jabatan Meteorologi, untuk kawasan-kawasan yang dijangka taburan hujan itu melebihi paras biasa. Di situ juga apabila berlaku hujan lebat melebihi biasa dan juga apabila air pasang besar di laut, maka banyak PPS. Jadi, caranya adalah membina pusat pemindahan kekal", katanya.
PPKB yang dibangunkan itu dilengkapi dengan kemudahan asas yang selesa bagi menampung penduduk terjejas bencana.