SETIU, 31 Disember- Banjir gelombang keempat di Terengganu dijangka akan menjejaskan seramai 224 pelajar di negeri itu yang bakal menduduki peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), bulan depan.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Professionalisme) Kementerian Pendidikan (KPM), Shafruddin Ali Hussin berkata, kesemua mereka telah dikenal pasti oleh pihaknya.
Justeru, pelajar terbabit akan diberi pilihan untuk tinggal di asrama atau lokasi berdekatan sekolah bagi menduduki peperiksaan tanpa gangguan.
Jelas Shafruddin, KPM telah membuat persiapan teliti bagi memastikan ia berjalan seperti dijadualkan serta memastikan pelajar tidak terkesan akibat banjir.
"Kita dah minta Pengarah-pengarah negeri (Jabatan Pendidikan Negeri) untuk membuat penelitian dan pemantauan kepada murid-murid kita yang akan menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM terutama murid yang berada di kawasan berisiko banjir.
"Jika perlu, mereka akan ditempatkan di asrama atau penempatan terdekat dengan pusat peperiksaan untuk memastikan mereka boleh menduduki peperiksaan seperti dijadualkan," katanya kepada ditemui pemberita pada operasi pembersihan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Las di sini yang dilanda banjir.
Peperiksaan SPM, STPM dan STAM dijangka berlangsung pada awal Januari depan.