SHAH ALAM, 11 April- Satu lagi mayat ditemukan maut dipercayai terkena renjatan elektrik di Kampung Padang Jawa, Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 6.11 petang.
Siasatan mendapati, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang juga pekerja penghantaran ditemukan di sebuah lot rumah satu tingkat di lokasi berkenaan.
Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan memakai t-shirt tanpa lengan warna biru gelap dan memakai seluar pendek warna hitam.
Bagaimanapun, tiada kesan pergelutan dan kecederaan lain pada tubuh mangsa.
Siasatan awal mengesyaki mangsa maut terkena renjatan elektrik ketika mengecaj telefon bimbit yang dalam keadaan rumah dinaiki air banjir.
Mayat kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan bedah siasat yang dijadualkan pada pukul 10.00 pagi esok.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.