fb fb fb fb fb

Banjir kilat: Lima siren amaran dipasang di ibu negara

KUALA LUMPUR, 22 Mac - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memasang lima siren amaran di sekitar ibu negara dalam usaha memberi amaran awal kepada warga kota mengenai kemungkinan berlaku banjir kilat.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kerja-kerja awal memasang siren telah dilaksana dan dijangka siap dalam masa terdekat.

"DBKL akan memasang lima siren sistem amaran di kawasan yang dikenal pasti iaitu Lorong Kiri Keramat 15, Terowong Chan Sow Lin, Taman U-Thant, Jalan Sembilan di Kampung Cheras Baru dan Sungai Kayu Ara. Kerja-kerja awal sudah pun dilaksanakan dan akan siap dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan wakil Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berhubung keberkesanan Terowong Smart di ibu kota dalam menangani masalah banjir kilat.

(Jalaluddin Alias)

Selain itu, jelas Jalaluddin 13 daripada 51 kamera litar tertutup (CCTV) telah siap dipasang di kawasan hotspot banjir.

Untuk soalan tambahan lain, beliau turut memaklumkan pihaknya sedang meneliti untuk menambah kekuatan pasukan Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL bagi memantau cerun dan kawasan berbukit.

"Ketika ini terdapat 3,441 kawasan berbukit dan cerun di Kuala Lumpur yang perlu dipantau pasukan berkenaan yang kini hanya memiliki kekuatan kira-kira 300 orang," tambahnya.

Media Baharu