fb fb fb fb fb

Banjir kilat: 21 penduduk Kampung Tanjung dipindahkan

FOTO Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang

KUALA NERANG, 28 September- Seramai 21 penduduk melibatkan tujuh keluarga di Kampung Tanjung, Kuala Nerang berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian banjir kilat, malam tadi.

Bagaimanapun kesemua mereka berjaya diselamatkan dan dibawa ke lokasi selamat.

Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang dalam kenyataan memaklumkan, operasi memindahkan kesemua penduduk terjejas diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang, PPgB Mohd Aminuddin Mad Khozali bersama anggota pasukan Alpha BBP Kuala Nerang.

Operasi turut dibantu Polis Daerah Padang Terap serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Padang Terap dilakukan sejak malam tadi hingga kira-kira pukul 3 pagi tadi.

Kesemua penduduk terperangkap selepas jalan keluar dinaiki air dengan cepat.

"Operasi menyelamat menggunakan sebuah bot aluminium 12' dan mangsa dipindahkan sementara di Masjid Kampung Tanjung Kanan, Padang Sanai," katanya.

Banjir menjejaskan sembilan rumah di Kampung Tanjung Kiri dan 10 rumah di Kampung Pisang.

 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE