ALOR SETAR, 5 Oktober - Jumlah penduduk terjejas banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah di negeri ini, meningkat.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kedah, Leftenan Kolonel (PA), Mohd Bukhori Mat Sidik menerusi kenyataan memaklumkan, sebuah lagi PPS iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar di Kota Setar dibuka pukul 2.30 petang tadi.
Ia menempatkan 76 penduduk daripada 24 keluarga.
Seramai 93 orang daripada 28 keluarga pula masih berlindung di PPS Dewan Serbaguna di daerah Pokok Sena, yang dibuka semalam.
Di daerah Kota Setar, kawasan dilanda banjir melibatkan lapan buah kampung di mukim Langgar/Limbong iaitu Kampung Alor Saga, Kampung Alor Setol, Kampung Alor Jawi, Kampung Alor Raja, makam Diraja, Kampung Pondok Tok Janggut , Kampung Tanjong Inggeris dan Kampung Pagar Air.
Sementara itu, paras air Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya Kota Setar merekodkan bacaan pada tahap berjaga-jaga dengan tren peningkatan berikutan limpahan dari hulu sungai.
Banjir kilat melanda beberapa daerah di Kedah, Jumaat lalu berikutan hujan lebat berterusan.