ALOR SETAR, 28 November - Jumlah penduduk yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kedah akibat banjir terus meningkat.
Setakat pukul 8.00 pagi tadi, seramai 569 penduduk melibatkan 197 keluarga di daerah Kubang Pasu dan Sik dipindahkan ke 7 PPS selepas kediaman mereka dilanda banjir ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu.
Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah dalam kenyataan memaklumkan, di Kubang Pasu, 535 penduduk melibatkan 184 keluarga ditempatkan di enam PPS.
"PPS Sekolah Menengah Kebangsaan, SMK Changlun menempatkan seramai 282 penduduk; SMK Binjai (105); Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Batu 8 (65); dan SK Sultan Ahmad Tajuddin (83).
"Manakala PPS di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lubuk Batu dan SK Malau dalam proses bancian," menurut kenyataan itu.
Kesemua penduduk terjejas terdiri daripada 16 buah kampung dan taman perumahan yang dilanda banjir.
Antaranya Kampung Nangmah, Kampung Paya Nongmi, Kampung Kubang Lintah, Kampung Bendang Tok Leh, Kampung Belukar, Belakang Balai Polis Pekan Lama Changlun, Kampung Kubang Betong, Taman Cengal dan Taman Sri Utama.
Sementara itu di Daerah Sik, seramai 34 penduduk melibatkan 13 keluarga ditempatkan di PPS SK Kota Aur. Kesemua penduduk daripada Kampung Kota Aur.