fb fb fb fb fb

Banjir : Enam negeri terjejas, bilangan penduduk terjejas meningkat dalam tempoh 24 jam

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 13 November- Seramai 2388 penduduk terjejas banjir membabitkan 726 keluarga direkodkan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Johor dan Kelantan sehingga jam 12:00 tengahari hari tadi.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah itu membabitkan 10 daerah yang aktif di enam negeri berkenaan.

"Sebanyak tujuh PPS baharu dibuka iaitu tiga di Johor, tiga di Kelantan, satu di Pulau Pinang dan satu di Perak menjadikan 25 buah PPS aktif keseluruhannya dengan bilangan penduduk terjejas meningkat daripada 1,359 kepada 2,388 orang dalam tempoh 24 jam.

"Manakala tujuh PPS telah ditutup semalam dan hari ini iaitu semua lima PPS di Kedah, satu PPS di Perak dan satu PPS di Selangor,"menurut kenyataan itu.

Nadma turut memaklumkan empat stesen di Sarawak, Selangor, Melaka dan Kelantan merekodkan aras air melebihi tahap bahaya sehingga jam 3:00 petang tadi.

"Antara kawasan terlibat adalah Long Jegan, Miri Sarawak, Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan dan Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka.

Dalam pada itu,Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Kemungkinan Banjir Kilat bagi beberapa kawasan di Negeri Terengganu, Selangor, Pulau Pinang, Perak,Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pahang,"menurut kenyataan itu.

Nadma turut mengharapkan penduduk yang berada di kawasan sekitar siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Orang awam diminta merujuk maklumat terkini daripada sumber yang sahih melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir.


(FOTO BERNAMA)

Media Baharu