fb fb fb fb fb

Banjir di Terengganu pulih sepenuhnya

DUNGUN, 1 Februari - Banjir gelombang keempat di Terengganu pulih sepenuhnya apabila dua Pusat Pemindahan Sementera (PPS) terakhir ditutup sepenuhnya pada pukul empat petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan 463 penduduk telah pulang ke kediaman mereka selepas ditempatkan di dua PPS berkenaan sejak 25 Januari lalu.

"237 orang berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja manakala PPS Dewan Serbaguna Kampung Shukor 226 penduduk.

"Banjir telah pulih sepenuhnya pada 28 Januari lalu namun disebabkan lumpur yang terlalu tebal menyebabkan penduduk tidak dapat pulang membersihkan kediaman," kata sekretariat itu menerusi kenyataan.

Situasi banjir di Hulu Dungun disifatkan antara yang paling buruk dalam tempoh 40 tahun apabila menenggelamkan hampir kesemua kediaman di dua buah kampung berkenaan.

Banjir gelombang keempat mula melanda Terengganu pada 23 Januari lalu dengan lima buah daerah terjejas iaitu Dungun, Hulu Terengganu, Besut, Marang dan Setiu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN