KUALA LUMPUR, 2 Disember- Situasi banjir di Terengganu mencatatkan sedikit perkembangan positif, apabila jumlah penduduk terjejas menurun kepada 40,329 orang, setakat pukul 12.00 tengah malam tadi.
Jumlah tersebut turun berbanding 41,739 orang pada pukul 10.00 malam semalam.
Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga merekodkan pengurangan, membabitkan lapan daerah yang terjejas.
Sebanyak 274 PPS masih dibuka, dengan Besut menjadi daerah yang mempunyai penduduk terjejas paling tinggi iaitu seramai 2,943 keluarga yang berlindung di 95 PPS.
Menerusi Portal Info Bencana JKM, situasi di Kelantan menyaksikan 251 PPS dibuka di sembilan daerah, menempatkan seramai 85,848 penduduk terjejas banjir, setakat pukul 12.00 tengah malam tadi.
Pasir Mas menjadi daerah paling teruk terjejas, dengan 29, 361 orang berlindung di 64 PPS.
Begitu juga, di Kedah apabila 8,401 penduduk terjejas di enam daerah masih berlindung di 49 PPS.
Pahang pula mencatatkan peningkatan penduduk terjejas banjir.
Seramai 1,518 penduduk terjejas berlindung di 26 PPS membabitkan tiga daerah iaitu Raub, Jerantut dan Lipis.