fb fb fb fb fb

Banjir di Pahang dan Sabah surut sepenuhnya petang ini

FOTO INFOBENCANAJKM

KUALA LUMPUR, 19 Januari- Banjir di Pahang dan Sabah surut sepenuhnya petang ini apabila data oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) merekodkan Johor sahaja negeri yang masih terjejas.

Menurut Portal Bencana NADMA, seramai 65 orang daripada 19 keluarga di Johor kekal berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 4.00 petang tadi.

Data pada pukul 12.00 tengah hari tadi merekodkan seramai 205 orang daripada 17 keluarga di lima PPS membabitkan negeri Pahang, Johor dan Sabah, namun ia berkurangan sebanyak 140 orang pada pukul 4.00 petang tadi.

Portal InfoBencanaJKM turut melaporkan situasi sama dengan hanya daerah Segamat di Johor masih terkesan banjir.

"43 penduduk di PPS Balairaya Gemereh IV, Batu Badak dan 22 penduduk di PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek," lapornya.

Sementara itu, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dikeluarkan bagi negeri Perak (Hulu Perak); Kelantan (Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang); Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang dan Petaling); dan Sabah: Pantai Barat (Ranau), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat) sehingga pukul 5.00 petang tadi.

SITI AISHAH BINTI MD ISA