KUALA LUMPUR, 26 Disember- Semua aset telah diletakkan dalam keadaan bersiap-siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku berikutan keadaan banjir di pantai timur yang semakin buruk.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata bantuan udara disegerakan ke Kelantan untuk menghantar bekalan makanan, selain membawa mangsa yang memerlukan rawatan ke hospital.
"JBPM telah memberi perhatian serius di mana kita telah menghantar aset-aset tambahan ke pantai timur. Hari ini juga kita telah menghantar pesawat udara ke Kelantan bagi membolehkan tugasan misi menyelamat dan juga penghantaran makanan serta tinjauan udara yang dilaksanakan di sebelah pantai timur ini," kata Abdul Wahab ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penghargaan Wira Merah Bomba di sini.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata penduduk di kawasan dijangka banjir sudah mula berwaspada dan peka dengan amaran pihak berkuasa.
"Maklum balas daripada penduduk tahun ini sangat baik. Mereka keluar awal. Jadi, orang cakap daripada segi jumlah penduduk terperangkap itu lebih rendah. Tetapi, trend yang naik sekarang ini contohnya di Pasir Mas pagi tadi, pemindahan penduduk terjejas masih berlaku. Mereka ini duduk di tingkat atas. Jadi, saya menyeru penduduk untuk keluar awal, tambah mula elektrik telah mula dipotong," kata Nor Hisham.