fb fb fb fb fb

Banjir, aset APM Terengganu siap sedia digerakkan

Foto Fail

MARANG, 19 November- Semua aset Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu kini berada dalam fasa siap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri itu.

Met Malaysia sebelum ini mengeluarkan notis amaran hujan lebat tahap bahaya di beberapa daerah di negeri berkenaan.

Pengarahnya, Leftenan Kol (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata kesemua logistik berfungsi dengan baik selepas melalui proses baik pulih secara berkala.

Kekuatan anggota seramai 750 orang dan 63 buah bot serta 42 unit kenderaan darat, sedia digerakkan sebaik sahaja berlaku banjir.

Sebanyak 590 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri telah bersiap sedia untuk menempatkan 150,000 penduduk terjejas banjir dalam satu-satu masa.

Selain itu, pihaknya memaklumkan bahawa terdapat 262 lokasi berisiko banjir dikenal pasti antaranya ialah Kampung La Besut, Air Putih Kemaman, Pasir Raja Dungun dan Kampung Kua Hulu Terengganu.

"Kepada semua penduduk, saya menyeru sekiranya berlakunya hujan lebat dalam tempoh yang berterusan diminta berpindah lebih awal. Perkara ini memang kita sentiasa ingatkanlah. Mungkin ada barang-barang yang boleh mula letak ditempat yang tinggi, begitu juga kenderaan masing-masing.

Pihak APM selalu mengingatkan bahawa penduduk-penduduk perlu menyediakan satu beg yang boleh memuatkan barang-barang penting, agar apabila berlakunya banjir boleh capai beg tersebut dan terus berpindah ke PPS," kata Mohd Rosman kepada pemberita selepas menyempurnakan latihan kesiapsiagaan MTL pengendalian dan pengujian bot penyelamat APM, di sini.

Mengulas lanjut, dalam usaha mengurangkan risiko bencana, lebih 24,500 komuniti pelbagai peringkat dilatih merangkumi pelan metigasi dan latihan keselamatan bagi tempoh MTL kali ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM