fb fb fb fb fb

Banjir Alor Gajah: 248 penduduk terjejas dipindahkan ke lima PPS

Sebanyak 14 kawasan di Masjid Tanah terjejas banjir berikutan hujan lebat berterusan bermula pukul 11 pagi tadi.

MELAKA, 11 Ogos- Sebanyak 248 penduduk terjejas dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Tanah, Alor Gajah di sini setakat 7.30 malam ini berikutan banjir yang melanda kawasan itu susulan hujan lebat sejak pagi tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka berkata 14 kawasan terjejas banjir membabitkan Kampung Paya Lebar, Kampung Ramuan China Besar, Kampung Bukit Apit, Kampung Ayer Limau, Kampung Sungai Jernih dan Kampung Lekok.

Selain itu, Kampung Paya Rumput, Kampung Lubok China, Taman Masjid Tanah Ria, Taman Bandar Baharu Masjid Tanah, Kampung Rantau Panjang, Kampung Berisu, Taman Awan Biru, Taman Seri Bayu 2 dan 3 serta Taman Seri Aman turut terkesan akibat bencana itu.

“Setakat ini, PPS Balai Raya Paya Lebar menempatkan 63 orang daripada 12 keluarga, PPS Perkim Masjid Tanah (empat orang daripada dua keluarga), PPS Balai Raya Kampung Ramuan China Besar (67 orang daripada 10 keluarga).

“...manakala PPS Balai Raya Ayer Paabas menempatkan empat orang dan PPS Taman Dewan Masjid Ar-Rasyidin Seri Bayu 2 (110 orang daripada 20 keluarga),” katanya.

Pihaknya menjangka terdapat pertambahan malam ini berikutan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jernih masih dalam proses mendaftarkan penduduk terjejas.

Dalam pada itu, kerajaan negeri memberi bantuan RM300 kepada penduduk terjejas banjir di Masjid Tanah pagi tadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata bantuan disalurkan kepada setiap rumah yang mendaftar di PPS

Justeru, beliau meminta penduduk terjejas banjir untuk mendaftar bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan.

Sebanyak 14 kawasan terjejas banjir berikutan hujan lebat berterusan bermula pukul 11 pagi tadi.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI