BUKIT PALAH, 4 Disember – Sebanyak 23 pasukan perubatan kecemasan telah digerakkan ke Terengganu, Kedah, dan Kelantan untuk membantu penduduk terjejas banjir.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata pasukan tersebut yang terdiri daripada 102 petugas barisan hadapan kesihatan telah dikumpulkan dari lapan negeri untuk memberi sokongan kepada fasiliti kesihatan yang turut terjejas akibat banjir.
“Kita telah menggerakkan 23 pasukan hari ini, dan ini sangat penting kerana bukan sahaja rakyat awam yang terjejas, tetapi juga pegawai dan kakitangan kesihatan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Better Brighter Anjung Kasih di Hospital Melaka, di sini.
Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini memaklumkan, sebanyak 98 fasiliti kesihatannya di Kelantan, Terengganu, dan Kedah terjejas akibat banjir.
Tambah Dr. Dzulkefly, selain bantuan kecemasan, KKM turut memberi tumpuan kepada kesihatan mental penduduk yang terkesan.
“KKM turut menyediakan khidmat kaunseling dan edukasi psikologi kepada mangsa banjir yang memerlukan sokongan,” tambahnya.
Langkah itu diambil bagi memastikan kebajikan fizikal dan mental penduduk terjejas banjir dapat terus dijaga sepanjang tempoh pemulihan.