
KUALA NERANG, 10 Mac – Struktur kayu sebuah kilang pengeluaran tayar pintar dan mesra alam yang sedang dalam pembinaan musnah kira-kira 50 peratus dalam kebakaran di Jalan Kampung Baru Padang Sanai, Padang Terap, pagi tadi.
- Pusat Gerakan terima panggilan kecemasan pada 6.20 pagi melalui talian MERS 999.
- JBPM gerakkan jentera dari BBP Kuala Nerang, water tanker BBP Alor Setar dan pasukan bomba sukarela.
- Anggota guna dua aliran hos sepanjang 200 kaki dengan empat pancutan air dari pam jentera.
- Api berjaya dikawal pada 8.33 pagi, tiada korban dilaporkan; punca dan jumlah kerugian masih disiasat.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 6.20 pagi berhubung kejadian kebakaran struktur berkenaan.
Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kedah segera menggerakkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang ke lokasi kejadian dengan bantuan jentera water tanker dari BBP Alor Setar serta Pasukan Bomba Sukarela berhampiran.
Kebakaran melibatkan struktur kayu dalam pembinaan kilang berkeluasan kira-kira 200 x 200 kaki persegi.
Beliau berkata, anggota bomba menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki dengan empat pancutan air dari pam jentera bagi memadam kebakaran.
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 8.33 pagi.
Kebakaran tersebut menyebabkan kira-kira 50 peratus struktur kayu bangunan musnah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.